TINGGALKAN LINK ANDA DI SINI (",)

Jumaat, 24 Disember 2010

Hukum Memakai Tudung (Hijab)



Dari segi Bahasa Arab, kalimah ‘hijab’ membawa makna ‘halangan’. Hijab dinamakan demikian kerana ia menghalang wajah wanita daripada dipandang orang lain.
Dari segi syarak pula, hijab ialah pakaian yang diperintahkan kepada wanita memakainya untuk menutup anggota-anggota yang wajib ditutup dari sudut syarak.Hukum Memakai Hijab
Ulama bersepakat tentang diwajibkan memakai hijab ke atas setiap wanita muslimah yang telah mukallaf. Dalil kewajipan ini adalah seperti berikut:
1. Firman Allah Taala:
يأيها النبي قل لأزواجك وبناتك ونساء المؤمنين يدنين عليهن من جلابيبهن
Maksudnya: “Wahai Nabi, katakan kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kamu, dan isteri-isteri orang-orang mukmin supaya melabuhkan ke atas mereka daripada jilbab-jilbab mereka.” (surah Al-Ahzab:59)

2. Firman Allah Taala:
وقل للمؤمنات يغضضن من أبصارهن ويحفظن فروجهن ولا يبدين زينتهن إلا ما ظهر منها
Maksudnya: “Dan katakanlah kepada wanita-wanita beriman supaya mereka menundukkan daripada pandangan mereka, menjaga kemaluan-kemaluan mereka, dan jangan mereka mendedahkan perhiasan mereka kecuali apa yang zahir daripadanya.” (surah Al-Nuur 31)

Subhanallah. Pada masa kini terdapat pelbagai fesyen tudung yang boleh dipakai oleh wanita muslim.  Fesyen tudung sekarang yang mudah dipakai tanpa memerlukan kerongsang dipinkan sana sini juga turut mendorong kanak-kanak untuk memakainya. Alhamdulillah kerana ianya dapat mendidik anak-anak dari kecil lagi untuk menutup aurat.

Dalam keseronokan kita menggayakan fesyen tudung yang pelbagai, terfikirkah kita bagaimana cara pemakaian tudung yang dituntut dalama agama kita? Mari sama-sama kita renungkan..


Untuk apa kita bertudung ?
Setiap kali kita bertudung, bangkitkan persoalan dalam diri kita : Untuk apa kita bertudung ? Untuk kelihatan cantik ? Untuk dipuja-puji ? Atau untuk mentaati perintah Allah ? Jika yang terdetik dalam hati kita bertudung itu semata-mata hanya untuk selain Allah, maka bertudung itu bukan lagi sebagai ibadah yang mampu membawa kita ke syurga Allah, bahkan tudung yang cantik itu mungkin sekali membawa kita ke jurang neraka yang paling dalam. Mengapa tidak, dengan tudung yang bergaya, anda mampu menggoda pandangan lelaki yang memandangmu, membayangi setiap inci tubuhmu dan mungkin bakal meratah tubuhmu tanpa ikatan yang sah. Nauzubillah himinzalik.

Ciri-ciri keselamatan tudung ?
Jika topi keledar berfungsi untuk melindungi kepala penunggang dan pembonceng jika berlaku kemalangan, maka tudung juga berfungsi untuk melindungi bahagian tubuh wanita agar tidak dilihat lelaki ajnabi sehingga membawa kepada bencana yang bakal merosakkan tamadun manusia. Yang bakal menentukan keselamatan hidup di dunia hingga akhirat. Sedarlah sahabatku bahawa peranan tudung sangat besar untuk menjaga kepentingan kita. Jadi pastikan piawaian tudung melepasi tahap yang telah ditentukan oleh Al-Quran dan As-Sunah.

Tidak jarang
Adakah kain jarang mampu menghalang pandangan lelaki dari melihat apa yang kita sembunyikan ? Tentu tidak ! Jadi pastikan kain tudung kita cukup tebal untuk tujuan perlindungan. Minta bantuan orang lain untuk melihat tahap ketebalan kain tudung setelah anda memakainya. Jika pemerhati masih dapat melihat bayangan leher anda di sebalik tudung, maka tudung itu tidak mampu menjamin keselamatan diri dan kehormatan anda. Carilah kain yang lebih tebal dan selamat.

Menutup rambut
Rambut adalah mahkota wanita, jadi simpanlah rambut anda untuk tontonan mereka yang benar-benar berhak ke atas anda dengan akad yang sah. Ia bukan barang murahan yang dijual di kaki lima. Maka pastikan rambut anda terlindung rapi di sebalik tudung. Jika anda merasa bangga mempertontonkan jambul atau rambut yang disangka indah itu, sebaiknya anda kembali menyoal diri : banggakah aku bila orang dapat menyaksikan rambutku dibakar dengan api kelak ? Cukuplah syurga menjadi impian dan neraka menjadi pengajaran buat kita wahai sahabatku .

Menutup dada
Bab menutup dada agak mencabar dalam memilih tudung yang bersepah di pasaran. Jika anda sudah akil baligh, maka elakkan memakai tudung yang dipin ke belakang leher di hadapan lelaki ajnabi. Jika tudung tersebut menutup bahagian dada hadapan, mintalah pemerhati untuk memastikan tudung anda turut menutup bahagian tepi dada anda. Kenapa ia penting untuk anda ? Kerana dada adalah tempat pertama yang dipandang oleh mata lelaki. Jika anda ingin selamat, maka pastikan tudung anda juga mampu memberi tahap keselamatan yang tinggi untuk bahagian ini.

Menarik atau tidak
Seronoknya kalau dapat memakai tudung yang menarik. Betul tu ! Tapi simpanlah tudung sebegitu untuk dipakai di rumah dan bukan di hadapan lelaki ajnabi. Tudung yang menarik mampu menarik lebih banyak mata lelaki untuk memandang anda, dan tentu ia juga tidak selamat untuk anda. Jadi jangan memancing lelaki untuk bertindak lebih jauh tanpa ikatan yang sah (nikah). Pilihlah tudung yang kurang menarik perhatian umum yang mampu menjaga keselamatan diri dan kehormatan anda.

Bila sebenarnya kita bertudung ?
Bertudunglah dengan sebaiknya apabila wujudnya lelaki ajnabi atau perempuan bukan Islam yang mampu melihatmu. Ia tidak sekadar di jalanan, bahkan kuatkanlah dirimu untuk bertudung saat mereka wujud di dalam rumah dan tempat tinggalmu. Alah bisa tegal biasa. Yang kita perlu ikuti bukan kebiasaan ramai tapi kebenaran yang mampu membawa kita menemui Allah dengan jiwa yang aman. 

Tahukah anda ?
Jika kita memperbetulkan niat bertudung kerana Allah dan memakai tudung selamat yang mengikut syariat maka kita bukan sekadar menjadi hamba yang taat pada perintah Allah serta menjauhi laranganNya, tapi bertudung tersebut menjadi ibadah bahkan dakwah untuk mereka yang melihatnya. Subhanallah. Berubahlah sahabatku sebelum terlambat.

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka meperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mentua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya"



Tiada ulasan: