TINGGALKAN LINK ANDA DI SINI (",)

Selasa, 10 Mei 2011

Ya Allah..Permudahkanlah

Hati Hawa tidak tenteram. Dia berasa gundah setiap kali memikirkan hubungannya dengan Adam. Hawa bimbang sekiranya hubungannya dengan Adam tidak dirahmati dan dimurkai Allah. Namun, hati wanita ini tidak teguh untuk melawan godaan. Kadang kala air mata berlinang setiap kali dihimpit perasaan ini.

Hawa dan Adam kini sedang dibuai rasa kasih dan sayang. Walaupun berjauhan, hubungan mereka semakin hari semakin dekat. Mereka hanya berhubung melalui SMS, Facebook dan YM. Pernah hanya 2 kali berhubung melalui perbualan telefon. Itupun kerana Adam terlalu risau akan Hawa.

Hawa telah lama memendam rasa kasihnya terhadap Adam. Mereka rakan sekuliah semasa sama-sama menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi sejak Disember 2003. Namun, hanya rakan-rakan karibnya yang tahu bagaimana dia menyukai Adam dalam diam. Adam bukanlah lelaki yang suka bergaul dengan perempuan. Adam seorang yang serius dan diam di dalam kelas. Hawa tahu, dia tidak mungkin memiliki hati Adam sehingga dia sanggup menerima kehadiran lelaki lain dalam hidupnya. Akan tetapi, hubungan yang dibina dengan lelaki lain tidak bertahan lama. Hawa cuba menutup hatinya untuk menerima cinta lelaki kerana dia tidak mahu terluka lagi.

Pernah beberapa kali ada teruna yang cuba mendekati Hawa. Namun, hati Hawa mudah berubah. Mulanya Hawa cuba menerima lelaki itu tetapi setelah beberapa lama berkawan, Hawa merasakan kekurangan dalam diri lelaki itu.

Siapa sangka setelah hampir 8 tahun, Adam muncul dalam hidupnya. Adam, jejaka yang sangat Hawa sayangi. Hawa sendiri tidak tahu mengapa dia terlalu menyayangi lelaki ini. Mungkin kerana peribadi yang Adam miliki. Adam memiliki 10 ciri yang Hawa idamkan bagi lelaki yang bakal menjadi imam dalam keluarganya. Betapa gembiranya Hawa apabila Adam meluahkan rasa hatinya. 

Adam dan Hawa sentiasa menjaga perhubungan mereka. Tidak mahu tersasar dari landasan yang ditetapkan dalam Islam. Pada mulanya Hawa ingin merahsiakan hubungan mereka kerana selagi belum ada ikatan yang sah, dia tidak mahu menyebarkannya. Tetapi, rakan-rakan mereka cepat menghidu hubungan mereka. Pelbagai dugaan yang Hawa hadapi. Pelbagai asakan daripada rakan-rakan membuatkan Hawa memujuk Adam untuk memberitahu hubungan mereka kepada rakan-rakan secara terang-terangan.

Adam menurut permintaan Hawa kerana tidak mahu Hawa merajuk. Adam tahu hati Hawa sangat sensitif. Adam sedaya upaya menjaga hati bidadarinya. Kerap juga permintaan Hawa ditolak dengan berhemah. Dugaan bagi pasangan yang bercinta. Rasa ingin berjumpa meluap-luap. Adam dan Hawa merasa perkara yang sama. Diburu rasa rindu. Hati wanita yang kalah dengan godaan syaitan laknatullah. Kadang-kadang Hawa meminta untuk berjumpa. Adam menolak. Katanya tidak perlu rasanya mereka berjumpa. Kadang-kadang Hawa ingin berbual melalui telefon. Adam menolak. Adam tidak mahu mereka hanyut dengan godaan musuh manusia. Hawa faham mengapa Adam bertindak sedemikian.

Mereka perlu menjaga perhubungan mereka sebaik mungkin. Pernah rakan Hawa menasihatkan Hawa supaya menjaga hubungan yang terbina itu kerana zuriat yang bakal dilahirkan nanti sedikit sebanyak dipengaruhi dengan sikap ibu bapanya. Oleh itu, jika inginkan zuriat yang soleh dan solehah, dari awal lagi ibu dan bapa perlu menjaga hubungan mereka.

Setelah beberapa lama, Adam menyatakan hasratnya ingin memperisterikan Hawa tetapi masih lagi mencari masa yang sesuai untuk mempertemukan keluarga kedua-dua pihak. Adam berharap Hawa memahaminya. Pernah Adam meluahkan rasa gelisahnya memikirkan langkah dalam merancang masa depan mereka. Rakan sekerja Adam memperingatkan Adam bahawa urusan perkahwinan sekurang-kurangnya memakan belanja RM20 ribu. Hawa menjadi gundah. Hawa memberitahu Adam yang Hawa tidak mengidamkan majlis yang besar dan mewah. Hawa hanya ingin mengadakan majlis yang sederhana. Hawa ada berbincang dengan ibu dan bapanya. Ternyata ibu bapa Hawa juga setuju sekiranya ingin melangsungkan perkahwinan biarlah mudah dan sederhana.

Hati Hawa dihimpit rasa gelisah. Tidak tahu bagaimana ingin diluahkan kepada Adam. Hawa tidak mahu membuat Adam rasa tertekan dan tidak mahu terus-terusan mengasak Adam untuk mempercepatkan perancangan mereka. Hawa buntu. Apa yang perlu dilakukan? Semakin hari, rasa kasih, sayang, cinta dan rindu semakin mendalam. Adakah Hawa mampu menahan dugaan ini?

"Ya Allah Ya Tuhanku.. Andainya Adam jodohku, permudahkanlah.. Dan sekiranya Adam bukan jodohku, jauhkanlah perasaan ini dari hatiku."

Tiada ulasan: