TINGGALKAN LINK ANDA DI SINI (",)

Sabtu, 9 April 2011

Derhakakah Umar, Mama?

Bilik asrama di sebuah universiti itu sunyi. Lengang. Di satu sudut, sesusuk tubuh kelihatan sedang menghadap ke meja komputer peribadinya.

Umar termenung ke luar tingkap dari dalam biliknya. Kesunyian di dalam bilik asrama yang terbahagi pada empat bahagian itu membuatkan dia sedih. Ketiadaan rakan sebiliknya yang pulang sementara menunggu kertas peperiksaan yng seterusnya membuatkan Umar terasa sunyi. Umar tidak dapat pulang ke kampung halaman kerena rumahnya agak jauh berbanding dua orang sahabatnya.

Kesunyian membuatkan Umar teringatkan seseorang. Seseorang yang sudah hampir empat tahun meninggalkannya. Foto yang dilekatkan pada 'softboard' pembelajarnya ditatap. Terkenang kenangan manis bersama mama tersayang membuatkan Umar tersenyum sendirian. Terkenang saat mama kejutkan untuk bangun sahur suatu ketika dahulu. Hari itu mama masak agak banyak dibandingkan dengan hari-hari biasa. Umar seorang yang paling berselera di kalangan adik-beradiknya. Seringkali juga Umar dimarah mama kerana makan habis makanan yang ditinggalkan untuk keluarga besar yang berkehidupan sederhana itu kerana selaunya makanan yang disediakan sedikit untuk keluarga besar.

Tapi hari ini mama sediakan lauk yang banyak. Tidak seperti hari-hari sebelumnya. Memang agak tawar masakan mama pada hari itu. Mungkin kerana mama masak di awal pagi dan dalam kuantiti yang banyak. Umar pandang kiri kanan. Lauk masih banyak. Seorang demi seorang adik-beradiknya yang lain bangun selesai makan menuju ke sinki untuk mencuci pinggan sendiri. Mama masih lagi duduk di tepi hidangan melihat lauk pauk yang masih banyak. Umar gagahkan juga menghabiskan lauk pauk masakan mama hari itu. Perut Umar sudah penuh. Namun disumbat juga. Mama merenung wajah Umar. Terpancar suara dari mulut mama, "Umar, Umar seorang sahaja yang menghargai masakan mama." Bertakung air mata Umar terkenangkan mama. Kenangan itu masih lagi segar di ingatan Umar.

Namun menangis teresak-esak bila mengenangkan saat-saat terakhir Umar dengan mama. Sewaktu cuti semester, Umar merancang untuk bekerja sambilan sementara menunggu habis waktu cuti. Akan tetapi, mama ada permintaan yang tak dapat Umar tolak. Mama minta Umar temankan atuknya yang tinggal bersendirian di kampung. Mama tak mampu pulang ke kampung disebabkan kekurangan. Umar turutkan permintaan mama walaupun Umar tidak mampu laksanakan. Mama minta untuk Umar rahsiakan daripada atuk mengenai permintaan mama. Umar tidak pandai memasak untuk menjaga atuknya. Umar hanya mampu berjaga-jaga kalau atuk terjatuh. Sehingga suatu hari, Umar dihalau atuk kerana atuknya menganggap dia hanya membuang masa. Umar tidak dapat memberi jawapan apa-apa kerana telah berjanji dengan mama. Umar terus pulang ke rumahnya dan meminta maaf dengan mama kerana tidak dapat menunaikan permintaan mama.

Oleh kerana baki cuti yang singkat, Umar tidak dapat mencari pekerjaan sementara. Dia hanya menghabiskan masa di rumah. Mama sudah mula bercakap bukan-bukan. Mama marah-marah. Mama membanding-bandingkan Umar dengan anak-anak kawannya yang lebih cemerlang. Tetapi mama tidak nampak penglibatan Umar dari bidang lain. Umar seorang yang berniat untuk berbakti kepada agama sedaya upaya. Pernah juga Umar tinggalkan rumah dalam tempoh yang lama untuk melibatkan diri dengan program dakwah. Selalunya mama izinkan. Tapi hairan kali ini mama marah selepas Umar beritahu untuk keluar lagi. Umar relakan sahaja kehendak mama. Umar duduk sahaja di rumah.

Seminggu sebelum cuti Umar habis, marah mama semakin menjadi. Semua yang Umar cakap semuanya serba tak kena. Umar cuba bergurau, mama masih lagi marah. Umar tahan sahaja perasaan. Biarkan mama terus memarahinya. Sehari sebelum Umar pulang ke universiti, kali ini marah mama semakin menjadi. Mama ungkitkan mengenai atuk. Mama anggap memang patut Uamar dihalau atuk. Memang salah Umar. Umar diam sahaja. Sampai suatu ketika, perkataan yang tidak dapat Umar lupakan keluar dari mulut mama. "Pergi mana pun orang tak suka". Umar sudah tidak tahan. Terus masuk ke dalam bilik dan mendiamkan diri. Dalam hati terdetik, "Kalaulah mama faham..." Umar menangis sendirian..

Hari itu hari Jumaat. Umar hendak pulang ke universiti. Pagi itu Umar siapkan segala persiapan. Sesekali Umar menghendap mama yang sedang baring berehat di ruang tamu. Umar tarik nafas panjang-panjang. Sebak dada teringat kata-kata mama semalam. Selepas siap semua persiapan, Umar menghendap mama. Masih lagi di situ. Selalunya mama akan bersama ikut abah menjemput Umar ke stesen bas. Dalam hati Umar berkata, "Ya Allah, lembutkanlah hati mama." Abah sudah sedia di kereta. Umar bersalam dengan mama. Mama yang selama ini asyik marah-marah bertanya dengan lembut, "dah nak balik dah?". Umar mengangguk. Dicium tangan dan pipi mama. Umar dapat merasakan sesuatu. Di muka pintu, Umar berpaling memandang mama yang masih terbaring. Ada sesuatu yang dapat dirasa tapi Umar tidak mengerti..

Selang dua minggu Umar di kampus, pagi itu Umar terjaga agak awal untuk Subuh selepas termimpi wajah mama tersenyum padanya. Mama berada di sebuah taman yang cukup cantik. Umar terfikirkan mama. Jam terlihat pukul 5:30. Umar bangun solat tahajud dan terus ke masjid untuk solat Subuh. Selesai Subuh, Umar terasa letih dan sambung tidur. Umar tidak sedar telefon bimbitnya sudah berkali-kali dipanggil. Terjaga dari tidur jam 8 pagi, Umar membaca mesej dari kakaknya, "Umar, mama dah tak ada"... Mama meninggal sebelum Subuh hari itu. Waktu Umar terjaga, itulah waktu mama menghembuskan nafas terakhir. Umar menangis teresak-esak. Tidak sangka ayat yang pedih itu menjadi ayat terakhir mama untuk dirinya. Bergegas Umar pulang. Sempat dia mengucup pipi mama. Dalam hati Umar menjerit, " maafkan Umar mama..

Tanpa disedari, air mata mengalir di pipi Umar. Berkali-kali pertanyaan itu bermain di akal fikirannya. "Diampunkankah dosaku? Terluputkah dosaku selepas sempat aku imamkan solat jenazah mama? Bersihkah dosaku selepas aku sambut jasad mama di dalam liang? Derhakakah aku?? Mama, apa maksud mama? Ampunkan Umar mama.."



Hasil Nukilan: NOOR ELRIDZUAN B. ELIAS
UIAM GOMBAK


Tiada ulasan: