TINGGALKAN LINK ANDA DI SINI (",)

ArsNee

Kisah Adam & Hawa


*1*Ya Allah..Permudahkanlah
Hati Hawa tidak tenteram. Dia berasa gundah setiap kali memikirkan hubungannya dengan Adam. Hawa bimbang sekiranya hubungannya dengan Adam tidak dirahmati dan dimurkai Allah. Namun, hati wanita ini tidak teguh untuk melawan godaan. Kadang kala air mata berlinang setiap kali dihimpit perasaan ini.

Hawa dan Adam kini sedang dibuai rasa kasih dan sayang. Walaupun berjauhan, hubungan mereka semakin hari semakin dekat. Mereka hanya berhubung melalui SMS, Facebook dan Yahoo Messenger. Pernah hanya 2 kali berhubung melalui perbualan telefon. Itupun kerana Adam terlalu risau akan Hawa.

Hawa telah lama memendam rasa kasihnya terhadap Adam. Mereka rakan sekuliah semasa sama-sama menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi sejak Disember 2003. Namun, hanya rakan-rakan karibnya yang tahu bagaimana dia menyukai Adam dalam diam. Adam bukanlah lelaki yang suka bergaul dengan perempuan. Adam seorang yang serius dan diam di dalam kelas. Hawa tahu, dia tidak mungkin memiliki hati Adam sehingga dia sanggup menerima kehadiran lelaki lain dalam hidupnya. Akan tetapi, hubungan yang dibina dengan lelaki lain tidak bertahan lama. Hawa cuba menutup hatinya untuk menerima cinta lelaki kerana dia tidak mahu terluka lagi.

Pernah beberapa kali ada jejaka yang cuba mendekati Hawa. Namun, hati Hawa mudah berubah. Mulanya Hawa cuba menerima lelaki itu tetapi setelah beberapa lama berkawan, Hawa merasakan kekurangan dalam diri lelaki itu.

Siapa sangka setelah hampir 8 tahun, Adam muncul dalam hidupnya. Adam, jejaka yang sangat Hawa sayangi. Hawa sendiri tidak tahu mengapa dia terlalu menyayangi lelaki ini. Mungkin kerana peribadi yang Adam miliki. Adam memiliki 10 ciri yang Hawa idamkan bagi lelaki yang bakal menjadi imam dalam keluarganya. Betapa gembiranya Hawa apabila Adam meluahkan rasa hatinya. 

Adam dan Hawa sentiasa menjaga perhubungan mereka. Tidak mahu tersasar dari landasan yang ditetapkan dalam Islam. Pada mulanya Hawa ingin merahsiakan hubungan mereka kerana selagi belum ada ikatan yang sah, dia tidak mahu menyebarkannya. Tetapi, rakan-rakan mereka cepat menghidu hubungan mereka. Pelbagai dugaan yang Hawa hadapi. Pelbagai asakan daripada rakan-rakan membuatkan Hawa memujuk Adam untuk memberitahu hubungan mereka kepada rakan-rakan secara terang-terangan.

Adam menurut permintaan Hawa kerana tidak mahu Hawa merajuk. Adam tahu hati Hawa sangat sensitif. Adam sedaya upaya menjaga hati bidadarinya. Kerap juga permintaan Hawa ditolak dengan berhemah. Dugaan bagi pasangan yang bercinta. Rasa ingin berjumpa meluap-luap. Adam dan Hawa merasa perkara yang sama. Diburu rasa rindu. Hati wanita yang kalah dengan godaan syaitan laknatullah. Kadang-kadang Hawa meminta untuk berjumpa. Adam menolak. Katanya tidak perlu rasanya mereka berjumpa. Kadang-kadang Hawa ingin berbual melalui telefon. Adam menolak. Adam tidak mahu mereka hanyut dengan godaan musuh manusia. Hawa faham mengapa Adam bertindak sedemikian.

Mereka perlu menjaga perhubungan mereka sebaik mungkin. Pernah rakan Hawa menasihatkan Hawa supaya menjaga hubungan yang terbina itu kerana zuriat yang bakal dilahirkan nanti sedikit sebanyak dipengaruhi dengan sikap ibu bapanya. Oleh itu, jika inginkan zuriat yang soleh dan solehah, dari awal lagi ibu dan bapa perlu menjaga hubungan mereka.

Setelah beberapa lama, Adam menyatakan hasratnya ingin memperisterikan Hawa tetapi masih lagi mencari masa yang sesuai untuk mempertemukan keluarga kedua-dua pihak. Adam berharap Hawa memahaminya. Pernah Adam meluahkan rasa gelisahnya memikirkan langkah dalam merancang masa depan mereka. Rakan sekerja Adam memperingatkan Adam bahawa urusan perkahwinan sekurang-kurangnya memakan belanja RM20 ribu. Hawa menjadi gundah. Hawa memberitahu Adam yang Hawa tidak mengidamkan majlis yang besar dan mewah. Hawa hanya ingin mengadakan majlis yang sederhana. Hawa ada berbincang dengan ibu dan bapanya. Ternyata ibu bapa Hawa juga setuju sekiranya ingin melangsungkan perkahwinan biarlah mudah dan sederhana.

Hati Hawa dihimpit rasa gelisah. Tidak tahu bagaimana ingin diluahkan kepada Adam. Hawa tidak mahu membuat Adam rasa tertekan dan tidak mahu terus-terusan mengasak Adam untuk mempercepatkan perancangan mereka. Hawa buntu. Apa yang perlu dilakukan? Semakin hari, rasa kasih, sayang, cinta dan rindu semakin mendalam. Adakah Hawa mampu menahan dugaan ini?

"Ya Allah Ya Tuhanku.. Andainya Adam jodohku, permudahkanlah.. Dan sekiranya Adam bukan jodohku, jauhkanlah perasaan ini dari hatiku."

*2*From The Bottom Of My Heart
Tanpa dirancang, Hawa bersama ibu dan bapanya pergi ke Langkawi. Mulanya Hawa hanya bergurau dengan bapanya. "Abah, apa kata lepas kenduri nanti kita lajak pi Langkawi?" Hawa bersuara apabila terpandang papan tanda di jalan raya menyusuri Masjid Bukhari. Memang sudah lama Hawa ingin menjejakkan kaki di pulau yang terkenal dengan mitos Mahsuri.

"Awak nak pesan apa-apa tak?" pesanan ringkas dari Adam.
"Boleh ke?" balas Hawa ringkas.
"Boleh je. Awak nak apa?" Adam bertanya lagi.
"Saya nak coklat DAIM boleh?" Hawa menguntum senyuman sambil membalas SMS Adam.
"Ok..nanti saya belikan untuk awak" jawab Adam yang sedang menghadiri kursus di Langkawi.
Masih segar di ingatan Hawa. Itulah permulaan yang membuatkan hubungan Hawa dan Adam semakin erat.

"Hawa, kalau abah takmau pi, kita pi berdua ja". Lamunan Hawa terhenti. Tanpa disedari bibirnya mengukir senyuman. "Tengok la nanti macam mana. Kalau akad nikah tu habis awal, boleh la kita pi Langkawi" bapa Hawa bersuara.

Akad nikah berjalan agak lambat. Pengantin perempuan mempunyai masalah ketika imam memintanya membacakan al-Fatihah. Tergagap-gagap dan sebutan tidak betul. Beberapa kali imam membetulkannya. Dalam hati Hawa tertanya-tanya "Susah sangat ke nak betulkan bacaan tu. Padahal surah tu wajib dibaca dalam solat harian"

Selesai akad nikah, bapa Hawa terus memecut kereta menuju ke jeti Kuala Kedah. Hawa bersorak gembira. Akhirnya tercapai juga impiannya nak ke Langkawi. Terus Hawa mencapai telefon bimbitnya lalu menghantar SMS kepada Adam. "Awak, saya dalam feri sekarang. Dalam perjalanan ke Langkawi. Yeay!" Terkejut Adam kerana jam sudah pukul 7.00 malam. "Betul ke ni? Awak pi dengan sapa" SMS Adam diterima. Selepas berbalas SMS, Hawa bertanya "Awak nak pesan apa-apa?". Adam menjawab "Kalau boleh, saya nak coklat DAIM". Hawa sudah mengagak jawapan Adam. Mereka berdua memang menggemari coklat DAIM. Coklat itulah pemberian Adam yang pertama buat Hawa suatu ketika dahulu.

Pulang dari Langkawi, Hawa berfikir bagaimana caranya untuk dia berikan coklat yang telah dibeli kepada Adam. Dulu Adam kirimkan kepada rakan sekerja yang tinggal berdekatan dengan rumah Hawa. Sejak tamat pengajian tahun 2008, memang mereka tidak pernah berjumpa. Selama ini mereka hanya berhubung melalui Facebook, Yahoo Messenger dan telefon sahaja. Hati Hawa memang teringin sangat ingin berjumpa dengan buah hatinya. Jejaka yang sudah hampir 8 tahun bertakhta di hatinya. "Mesti Adam tak nak jumpa..Macam mana nak bagi DAIM ni?" Hati Hawa sangat rindukan lelaki itu. Pernah suatu ketika, Hawa mengarang sebuah puisi untuk Adam. Walaupun bukan sepenuhnya hasil nukilan Hawa, tetapi ianya memberi makna yang mendalam tentang rasa hatinya.


RINDU 
Dikau dtg lg..
Menyapa segenap sanubari
Dikala sepi mencengkam diri
RINDU
Apakah yg dikau cari..
Mengapa sering menghimpit hati
RINDU
Tidakku tahu keperluanmu..
Bijak mencuri lakaran perasaanku
RINDU
Kesungguhan darimu..
Dalam meniti layar hatiku
Membuaiku bagai ombak lalu
RINDU
Ku ingin tahu..
Adakah benar dikau pelengkap indah kenanganku
Atau
Dikau hanyalah bayangan luka gurisan kalbu
RINDU
Kepastian tetap aku nanti..
Biarpun menanti di hujung hari



Setelah Hawa memujuk Adam supaya berjumpa, akhirnya Adam bersetuju. "Ok..kita jumpa kat Butterworth. Tapi kalau boleh awal la sebab saya dah janji nak main futsal dengan kawan-kawan" Adam menghantar SMS kepada Hawa. Betapa girangnya hati Hawa kerana esok, dia akan berjumpa dengan Adam. Saat yang ditunggu-tunggu oleh Hawa selama ini.

Hati Hawa berdebar. "Bagaimana rupa Adam sekarang? Boleh ke aku cam dia nanti? Dah nak dekat 3 tahun tak jumpa. Dalam gambar dah berisi sikit." Lamunan Hawa terhenti apabila telefon bimbitnya berdering. "Assalammualaikum. Awak kat mana sekarang?" Suara Adam sedikit bergetar. Sudah pasti Adam juga merasakan debaran sepertimana Hawa rasakan kerana inilah pertemuan pertama mereka selepas tamat pengajian. "Saya tunggu awak kat tempat letak kereta dekat dengan kedai makan ni" jawab Hawa sambil tercari-cari kelibat Adam. Tuhan sahaja yang tahu perasaan Hawa apabila memandang tepat ke arah Adam. Hawa cuba berlagak biasa seolah-olah tenang. Jantungnya berdegup kencang.

Hawa memberikan bungkusan coklat kepada Adam setelah tiba di kompleks sukan. Sambil menguntum senyuman, Hawa memandu meninggalkan kompleks sukan tersebut. Hawa perlu bergegas ke sekolah dengan segera kerana ada tugasan yang perlu diselesaikan sebelum perhimpunan mingguan bermula. Hawa mengajar di sebuah sekolah menengah yang ternama di daerahnya. Dia bertugas di sesi petang. Jam sudah menghampiri 10.30 pagi. Tugasan di perpustakaan sekolah perlu disiapkan sebelum tengah hari. Hati Hawa berbunga-bunga pada hari itu.

"Alhamdulillah. Akhirnya terubat juga rindu ni walaupun sekejap saja pertemuan tadi" Hawa tersenyum lagi.

"Awak, terima kasih sebab bagi coklat tadi. Baru saya perasan plastik isi coklat tu ada tulis From The Bottom Of My Heart. Sweet sangat. Thanks sayang" Hawa membaca SMS yang dikirim Adam.



*3*Pertemuan Kedua
"Alhamdulillah. Aku dah selamat melahirkan baby girl jam 5 ptg tadi" Hawa menerima SMS dari rakan karibnya, Salma. Salma seorang yang periang, mudah bergaul dan rakan yang sentiasa mendengar luahan rakan-rakannya. Hawa dan Salma berkenalan ketika hari pertama mendaftar di sebuah institusi pengajian tinggi. Mereka ditempatkan di bilik yang sama dan kelas yang sama. Hubungan mereka sangat akrab. Pelbagai kisah suka duka dikongsi bersama. Kini Salma telahpun selamat melahirkan bayi perempuan setelah setahun Salma mendirikan rumah tangga dengan Ahmad. Ahmad juga merupakan rakan sekelas Hawa dan Salma. Memang tidak disangka jodoh Ahmad dan Salma kerana sepanjang pengajian, mereka hanya kawan rapat. Mereka bertiga sentiasa meluangkan masa bersama mengulangkaji pelajaran. Ahmad seorang yang bijak dan tegas. Namun, sikapnya kebudak-budakan.

"Awak, jom pi melawat Salma. Dia dah ada kat Bukit Mertajam" Hawa mengirim SMS kepada buah hatinya. Hawa sudah dapat mengagak jawapan yang akan diterima.
"Kalau saya tak ikut boleh tak?" Adam membalas.
"Erm..yela..saya tak paksa" Hawa kecewa dengan jawapan Adam.
"Bunyi macam merajuk ja" Adam dapat membaca perasaan Hawa. Ayat itu yang selalu disebut Hawa setiap kali dia merajuk.
"Takpa la kalau awak taknak pergi. Saya pergi sendiri" balas Hawa.
"Ok la..saya ikut..tapi boleh tak awak ambil saya kat terminal?" Adam meminta Hawa mengambilnya di terminal feri. Adam tinggal di Penang. Dia lebih gemar menaiki feri untuk ke seberang.
"Baik..pukul 10 saya ambil awak ye. Nanti saya bagitau Salma kita nak melawat dia" Hawa bersorak girang kerana Adam bersetuju untuk menziarah rakan sekelas mereka.

Hawa bersiap awal. Dia tidak mahu terlewat dan tidak mahu membuat Adam tertunggu-tunggu di terminal. Hawa berpegang kuat dengan golden rule "Do not do to others what you would not like to be done to you". Hawa tidak suka menunggu dan dia juga tidak suka membuat orang lain menunggu.

Jam menghampiri 9.50 pagi. Hawa tiba lebih awal dari masa yang dijanjikan. Tepat jam 10.00 pagi Adam tiba di terminal. Seolah-olah mereka berjanji. Mereka memakai warna sedondon. Hawa tersipu malu.

Dalam perjalanan menuju ke rumah Salma, mereka singgah sebentar di Sunway Carnival untuk membeli hadiah kepada bayi Salma. Hawa meminta Adam memilih pakaian bayi yang sesuai untuk bayi Salma. Adam memilih pakaian berwarna biru. Hawa tidak bersetuju dan akhirnya Hawa memilih pakaian berwarna pink. "Tadi suruh saya pilih. Tengok-tengok dia jugak yang pilih sendiri" Adam menyindir Hawa dengan nada bergurau. "Haha..kan baby girl..jadi lebih sesuai pakai warna pink" kata Hawa sambil menguntum senyuman. "Awak..saya lapar la" kata Adam. "Awak tak sarapan lagi ke?" soal Hawa. Adam menggeleng. "Ala..awak..kita dah lambat ni. Balik dari rumah Salma nanti baru kita makan ye?"

Setiba di rumah Salma, Hawa memeluk rakan karibnya itu lalu menghulurkan hadiah yang telah dibeli. Mereka berborak panjang ketika ibu Salma menyiapkan minuman. Ibu Salma menghidang karipap. "Jemput la makan Hawa. Ajak Adam sekali" pelawa ibu Salma. Hawa tersenyum sambil memandang Adam. "Awak kata lapar kan tadi?" Hawa berkata kepada Adam dengan suara berbisik.

Selesai makan, Hawa bermain-main dengan bayi Salma yang sedang berada dalam pengkuan ibu Salma. "Nah Hawa. Cuba kamu dukung Huda ni. Belajar la..Tak lama lagi kamu pulak kan?" kata ibu Salma sambil menghulurkan Huda kepada Hawa. Hawa menyambut Huda. Hawa agak kekok kerana tidak biasa mendukung bayi. Adam mengerling ke arah Hawa. "Awak nak cuba dukung baby tak?" Hawa bertanya kepada Adam. "Tak payah la kot. Saya tak pandai pegang baby" Adam tersenyum.

Hawa meminta diri apabila jam menghampiri 12.00 tengah hari. Adam mengajak Hawa untuk makan tengah selepas mereka beredar dari rumah Salma. Hawa memandu menuju ke Jusco Bandar Perda. Selesai makan tengah hari, Adam bertanya "Awak ada apa-apa tak petang ni?". Hawa menjawab, "Takda apa-apa. Lepas hantar awak nanti saya balik rumah je". Adam diam seketika. Adam menghabiskan makanannya. "Kita tengok wayang dulu nak?" Adam menyoal. Hawa terkejut dengan pertanyaan Adam. "Awak serius ke?" Hawa menjawab dengan pertanyaan. "Kalau awak taknak takpa la" Adam membalas. "Ok. Kita tengok dulu wayang mula pukul berapa pastu kita solat dulu sebelum wayang mula" Hawa memberi cadangan.

"Awak nak tengok cerita apa?" Adam menyoal ketika mereka beratur membeli tiket. "Saya serah kat awak untuk buat keputusan" Hawa memberi peluang kepada Adam untuk membuat keputusan tentang cerita yang akan ditonton. Adam memilih cerita Thor. Sebuah cerita dari negara luar.

Jam sudah menunjukkan pukul 4.15 petang. Hawa menghidupkan enjin kereta dan bertanya "Awak ada nak pi mana-mana lagi tak?". Proton wira dipandu Hawa menyusuri keluar dari kawasan Jusco Bandar Perda. "Takda. Nak terus balik ja" Adam menjawab. Adam mengerutkan keningnya apabila Hawa memandu menuju ke jambatan Pulau Pinang. "Awak nak pi mana ni?" Adam menyoal. "Saya hantar awak terus la. Tak sampai hati nak biar awak naik feri. Lambat pulak awak sampai nanti" jawab Hawa selamba.

Ketika tiba di tol memasuki jambatan Pulau Pinang, Adam menghulurkan wang kepada Hawa untuk bayaran tol. "Eh..tak payah la. Awak simpan duit awak tu. Sampai Penang nanti awak belanja saya makan laksa dengan ais kacang ye" Hawa tidak mahu mengambil duit yang dihulur Adam.

Setelah berpusing-pusing mencari kedai yang menjual laksa, akhirnya Hawa memberhentikan kereta di sebuah kedai yang jaraknya 2km dari USM. Hawa menjamah laksa dengan penuh berselera. Hawa memang gemar laksa. Laksa sungguh enak bila dimakan bersama ais kacang. Mereka berbual-bual sambil menikmati makanan. Pelbagai cerita dikongsi. Hawa yang paling banyak bercakap berbanding Adam. Adam memang tidak banyak bercakap hanya menjadi pendengar setia Hawa. Mungkin betul apa orang kata. Setiap pasangan itu perlu ada yang pendiam dan peramah. Saling melengkapi antara satu sama lain.

Hawa menghantar Adam pulang. "Awak tau tak jalan nak ke jambatan?" Adam risau kerana Hawa tidak biasa dengan jalan di Penang. "InsyaAllah saya tahu. Signboard kan ada" Hawa menguntum senyuman. "Ok..hati-hati ye. Apa-apa nanti call saya ye" Adam membalas senyuman.

"Awak..saya dah naik jambatan" Hawa mengirim SMS apabila tiba di jambatan.

"Ok. Hati-hati drive. Thanks sayang. Thanks for spend time with me. Happy sangat hari ni" Adam membalas.


*4* Hati Terguris



Seperti biasa, di waktu lapang Hawa gemar melayari internet. Kini facebook menjadi rutin baginya. Sedang Hawa membelek wall Adam, tiba-tiba dia menerima mesej dari kawan karibnya, Saidatul. Saidatul adalah kawan yang dikenali semasa menuntut di UPSI. 

Saidatul: Assalammualaikun Hawa.. Ko apa khabar?
Hawa: Wa'alaikummussalam.. Alhamdulillah sihat. Akak apa khabar?
Saidatul: Aku sihat.. Akak nak bagitau yang akak dah nak kahwin bulan depan. Nanti akak bagi kad.
Hawa: Tahniah kak.. Alhamdulillah.. Akhirnya bertemu jodoh..
Saidatul: Ko apa cerita? Lama tak dengar berita..
Hawa: Wa macam ni la kak.. Sibuk ngan sekolah..hehe
Saidatul: Ko bila nak kahwin?
Hawa: Erm.. Tak tahu la kak..
Saidatul: Dah ada ke belum?
Hawa: Ala.. yang Wa pernah cerita kat akak tu la..
Saidatul: Adam tu?? Ko biar betul.. Akak rasa dia tak sesuai la dengan ko.. Dia macam tak serius ja dengan ko
Hawa: Nape akak cakap macam tu?
Saidatul: Ye la.. Kalau betul dia serius dengan ko, dia dah jumpa mak ayah ko..
Hawa: Erm.. Entah la kak.. Malas nak fikir..
Saidatul: Macam ni la.. Akak kahwin nanti, ko ajak Adam datang sekali.. Tengok.. Dia nak datang ke tak..
Hawa: Kenduri kat Tapah tu?
Saidatul: Ye la..
Hawa: Jauh la kak.. Tengok la macam mana nanti.. Ok la kak.. Ada kerja nak buat

Hawa sengaja menamatkan perbualan kerana hatinya terguris dengan kata-kata kawannya. Dia kesal kerana kawannya membuat tanggapan yang negatif tentang Adam sedangkan Saidatul tidak pernah mengenali hati budi Adam. 

Hawa berharap, Adam menerima jemputan ke kenduri kawannya itu untuk membuktikan kata-kata kawannya jauh meleset. Alhamdulillah kerana setelah berterus terang dengan Adam, Adam menerima pelawaan itu.