Rumah itu lambangnya keamanan,
Rumah itu tandanya kedamaian,
Rumah itu maknanya kebahagiaan,
Rumah itu membawa kehidupan.
Bukan papan terpaku yang mengamankan,
Bukan bata tersusun yang mendamaikan,
Bukan tiang tertegak yang membahagiakan,
Bukan bumbung indah yang membawa kehidupan.
Di rumah itu,
ayahanda mengajar alif ba ta,
bonda mengesat air mata.
ayahanda merotan beri petunjuk,
bonda memasak untuk memujuk.
Dari rumah itu,
Mula belajar rasa rindu,
Kerana kasihku ada di situ.
Mula belajar rasa cinta,
Kerana di situ hatiku bertakhta.
Aku kasih rumah itu,
bukan kerana ia rumahku.
Aku rindu rumah itu,
Bukan kerana jauh beribu batu.
Biar mahligai ribuan juta,
Tak akan dapat tandingi ia,
Biar istana emas permata,
Tak akan dapat jadi gantinya.
Rumah itu bawa aman,
Kerana di situ tempat berteman,
Rumah itu bawa damai,
Kerana di situ ada perisai.
Rumah itu bawa bahagia,
Kerana di situ tempat bermanja,
Rumah itu bawa kehidupan,
Kerana di situ ada pahlawan.
Rumah itu cukup sempurna,
Kerana di situ ku punya cinta.
Hasil Nukilan:
1240am
27 Mac 2011
UIAM, Gombak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan