TINGGALKAN LINK ANDA DI SINI (",)

Rabu, 30 Mac 2011

Rumah Sempurna

Rumah itu lambangnya keamanan,
Rumah itu tandanya kedamaian,
Rumah itu maknanya kebahagiaan,
Rumah itu membawa kehidupan.

Bukan papan terpaku yang mengamankan,
Bukan bata tersusun yang mendamaikan,
Bukan tiang tertegak yang membahagiakan,
Bukan bumbung indah yang membawa kehidupan.

Di rumah itu,
ayahanda mengajar alif ba ta,
bonda mengesat air mata.
ayahanda merotan beri petunjuk,
bonda memasak untuk memujuk.

Dari rumah itu,
Mula belajar rasa rindu,
Kerana kasihku ada di situ.
Mula belajar rasa cinta,
Kerana di situ hatiku bertakhta.

Aku kasih rumah itu,
bukan kerana ia rumahku.
Aku rindu rumah itu,
Bukan kerana jauh beribu batu.

Biar mahligai ribuan juta,
Tak akan dapat tandingi ia,
Biar istana emas permata,
Tak akan dapat jadi gantinya.

Rumah itu bawa aman,
Kerana di situ tempat berteman,
Rumah itu bawa damai,
Kerana di situ ada perisai.

Rumah itu bawa bahagia,
Kerana di situ tempat bermanja,
Rumah itu bawa kehidupan,
Kerana di situ ada pahlawan.

Rumah itu cukup sempurna,
Kerana di situ ku punya cinta. 

Hasil Nukilan:
1240am
27 Mac 2011
UIAM, Gombak

Isnin, 28 Mac 2011

Kejohanan Badminton (Hari Kedua)

Hari kedua kejohanan, SMK Sultan Badlishah telah menghantar 3 regu (lelaki bawah 15), 1 regu (bawah lelaki 18), 1 regu (perempuan bawah 15) dan 1 regu (perempuan bawah 18). Senarai nama pemain adalah seperti berikut:

Lelaki bawah 15:
1) Loh Chun Kang/Chua Chong Win
2) Athisesan/Dhuraisamy
3) Linggeis/Visnuwaran

Lelaki bawah 18:
1) Sarsilan/Dinataran

Perempuan bawah 15:
1) Thirisyinie/Ghaayatry (EMAS)

Perempuan bawah 18:
1) Lim Sin Pei/Vaisnavi (EMAS)

Tahniah kepada skuad badminton dengan pencapaian keseluruh 4 emas, 1 perak, 1 gangsa.



Emas - Perseorangan lelaki (bawah 18), Perseorangan perempuan (bawah 18), Bergu perempuan (bawah 15) dan Bergu perempuan (bawah 18)
Perak - Perseorangan perempuan (bawah 15)
Gangsa - Perseorangan perempuan (bawah 15)

Jeeva - Emas perseorangan lelaki bawah 18

Bergu perempuan bawah 18 (dua kiri)
Bergu perempuan bawah 15 (dua kanan)

Ghaayatry dan Thirisyinie

Vaisnavi dan Lim Sin Pei

Lim Sin Pei bersama guru jurulatih dan pengurus pasukan

Ce Cite (Cuba Cerita)

Nak cerita,
tapi tak tahu pada siapa.

Nak cerita,
tapi tak tahu masa bila.

Nak cerita,
tapi tak tahu macam mana nak mula.

Semua orang punya cerita,
Cerita sedih, suka dan duka,
Ada juga yang suka-suka,
Ada juga tak tentu hala.

Cerita tipu, bohong dan dusta,
Buat fitnah buat hilang pahala,
Nak bercerita biarlah berpunca,
Jangan sebab mulut badan binasa.

Cerita orang suka nak dengar,
Cerita sendiri sangkut kat pagar,
Bila orang mintak komentar,
Baru lah mula terketar-ketar.

Kawan bercerita harus dipilih,
Jangan dikongsi si mulut serpih,
Dijaja macam baru kena sireh,
Tersembur-sembur tak habis-habis.

Terfikir-fikir cara nak cerita,
Cerita nak disampai tak keluar juga,
Kerana takut dijaja-jaja,
Tak apalah simpan seorang sahaja.

Hasil nukilan:
24 Mac 2011
9:09 pm
UIAM Gombak

Ahad, 27 Mac 2011

Kejohanan Badminton (Hari Pertama)

27 hingga 29 Mac 2011 merupakan Kejohanan Badminton MSSD Kulim/Bandar Baharu. Seramai 13 pemain dari SMK Sultan Badlishah telah menyertai pertandingan ini. Alhamdulillah hari pertama, SMK Sultan Badlishah telah merangkul 2 emas (single lelaki 18 dan single perempuan 18), 1 perak (single perempuan 15) dan 1 gangsa (single perempuan 15). Walaupun terdapat masalah pada awal kejohanan, ia tidak mematahkan semangat skuad badminton sekolah. 


Tahniah kepada :
1) Jeeva (Emas Single Lelaki 18)
2) Lim Sin Pei (Emas Single Perempuan 18)
3) Gaayathry (Perak Single Perempuan 15)
4) Thirisyine (Gangsa Single Perempuan 15)

Kepada pemain yang tidak mendapat pingat, jangan bersedih dan berputus asa. Tingkatkan usaha untuk hari kedua (bergu).

Isnin, 21 Mac 2011

Guru Generasi ke Generasi

Kanan (Baju Merah) : Cikgu Elias.. Abahku
Kiri (Baju Hijau) : Cikgu Sulaiman

Ahad, 20 Mac 2011

Happy Birthday, Kenteng

Happy birthday to u..
Happy birthday to u..
Happy birthday to Faiz..
Happy birthday to u..

Selamat hari lahir ke-17 buat Amirul Faiz bin Zulfakar.
Faiz ni student cikgu masa cikgu praktikal kat SMK Panchor, Seremban.
First time tengok dia, tertarik kat rambut dia yang unik tu.. hehe
Budaknya tinggi lampai. Pemalu (depan cikgu ja malu). Rajin (selalu siap homework dan selalu bertanya)
Pelajar yang selalu bagi semangat kat cikgu sepanjang cikgu praktikal.
Pernah tolong basuh keta cikgu.. siap pesan kat cikgu, "Cikgu sampai Kedah nanti, cikgu hon hon sikit sebab keta cikgu dah bersih".. Amboi..perli cikgu la tu sebab tak pernah basuh keta.
Banyak la kenangan manis ngan budak ni. Nak cerita memang panjang la. Kan Faiz kan.. :p
Ok la.. Dah ngantuk dah.. Pesan cikgu, KEJARLAH CITA-CITA SEBELUM MENGEJAR CINTA..hehe
Hari terakhir di Seremban.
Lokasi: Rumah Faiz Kenteng..hehe
Tarikh: 28 Mei 2010

Sabtu, 19 Mac 2011

ANALISIS PEPERIKSAAN PERTENGAHAN SEMESTER 1

Berikut adalah analisis keputusan Peperiksaan Pertengah Semester 1/2011 bagi kelas yang cikgu ajar (1A1, 1A2, 1A4, 1A5 & 1A10). 

Gred mengikut kelas

A - 75 hingga 100
B - 60 hingga 74
C - 50 hingga 59
D - 40 hingga 49
E - 0 hingga 39
TH - Tidak Hadir

Bilangan pelajar mendapat A mengikut kelas

Bilangan pelajar mendapat B mengikut kelas

Bilangan pelajar mendapat C mengikut kelas

Analisis keseluruhan

Tahniah kepada semua pelajar yang telah mendapat keputusan yang cemerlang. Jangan berpuas hati dengan apa yang telah kamu dapat kerana masih banyak lagi cabaran yang akan datang. Tingkatkan usaha untuk lebih cemerlang. 

Kepada pelajar yang tidak mendapat keputusan yang baik, lipat gandakan usaha untuk mengecapi kecemerlangan. Ingatlah bahawa, TIADA YANG MUSTAHIL dan JANGAN PUTUS ASA.

Isnin, 14 Mac 2011

Wawasan 2020

Persediaan Interview
Latarbelakang 
Semasa pelancaran Majlis Perdagangan Malaysia pada 28 Februari 1991, Y.A.B. Perdana Menteri telah membentangkan satu kertas kerja bertajuk "Malaysia-Melangkah ke Hadapan" yang mengandungi satu pemikiran dan rangka kerja mengenai matlamat Malaysia menjadi sebuah negara maju pada tahun 2020. Ianya dikenali sebagai "Wawasan 2020".
Wawasan 2020 bukanlah merupakan satu dasar khas tetapi merupakan tindak balas kepada perkembangan ekonomi, sosial dan politik yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa yang telah memberi cabaran hebat kepada negara. Wawasan ini telah diketengahkan sebagai satu garis panduan dan rangka kerja mengenai pendekatan yang harus diambil dalam memulakan langkah bagi perjalanan jauh yang akan ditempuh oleh negara.
Matlamat terakhir yang dicita-citakan ialah pembentukan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Kemajuan yang dimaksudkan bukan terhad kepada bidang ekonomi sahaja malah ia akan merangkumi segala aspek kehidupan: ekonomi, politik, sosial, kerohanian, kejiwaan dan kebudayaan.
Menjelang tahun 2020, Malaysia sebagai sebuah negara merdeka akan menjadi negara yang benar-benar maju, bersatu, mampu berdikari, progresif dan makmur. Rakyat akan menikmati kehidupan yang sempurna dalam satu masyarakat yang demokratik, bertoleransi, bermoral, adil, mampu bersaing, dinamik dan mempunyai daya ketahanan yang tinggi.
Ini bermakna Wawasan 2020 bertujuan mewujudkan negara bermatlamat iaitu Malaysia akan menjadi negara maju dengan caranya tersendiri tanpa terikut kepada cara dan corak negara maju yang ada sekarang. Kemajuan yang dicita-citakan ialah kemajuan yang sempurna yang tidak semata-mata diukur dari segi pencapaian lahiriah atau fizikal semata-mata malah ia akan meliputi pewujudan satu masyarakat yang sempurna dengan nilai moral dan etika yang tinggi dan boleh dicontohi oleh negara-negara lain. 
  
Objektif
Objektif di atas hanya boleh dicapai jika rakyat Malaysia dapat menghadapi dan mengatasi pelbagai halangan/rintangan yang dianggap sebagai cabaran. Di bawah ini diperturunkan sembilan cabaran yang telah dikenal pasti iaitu:
(i)  Mewujudkan negara Malaysia bersatu yang mempunyai matlamat yang serupa dan dikongsi bersama. Ia mesti menjadi negara yang aman, berintegrasi di peringkat wilayah dan kaum, hidup dalam harmoni, berkerjasama sepenuhnya, secara adil dan didokong oleh satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara;

(ii)  Mewujudkan masyarakat yang berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang dicapai serta gagah menghadapi pelbagai masalah. Masyarakat Malaysia ini mesti dapat dikenali melalui usaha mencapai kecemerlangan, sedar semua kemampuannya, tidak mengalah kepada sesiapa, dan dihormati oleh rakyat negara lain;

(iii)  Mewujud dan membangunkan masyarakat demokratik yang matang, mengamalkan satu bentuk persefahaman yang matang, demokrasi Malaysia berasaskan masyarakat yang boleh menjadi contoh kepada banyak negara membangun;

(iv)  Mewujudkan masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, yang mana warganegaranya kukuh dalam nilai agama, dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika paling tinggi;

(v)  Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur, rakyat pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing dan pada masa yang sama, meletakkan kesetiaan mereka kepada satu negara;

(vi)  Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, mempunyai daya perubahan tinggi dan memandang ke depan, yang bukan sahaja menjadi pengguna teknologi tetapi juga menyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan;

(vii)  Mewujudkan masyarakat penyayang dan budaya menyayangi, iaitu sistem sosial yang mana kepentingan masyarakat lebih utama daripada diri sendiri dan kebajikan insan tidak berkisar kepada negara atau individu tetapi di sekeliling sistem kekeluargaan yang kukuh;

(viii)  Memastikan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan negara secara adil dan saksama di mana wujud perkongsian sepenuhnya bagi setiap rakyat dalam perkembangan ekonomi. Masyarakat sedemikian tidak akan wujud jika masih ada pengenalan kaum berdasarkan fungsi ekonomi, dan kesemua kemunduran ekonomi berdasarkan kaum; dan

(ix)  Mewujudkan masyarakat makmur yang mempunyai ekonomi bersaing, 
  dinamik, giat dan kental.

Perspektif
Cabaran-cabaran di atas sebenarnya telah membangkitkan beberapa isu utama yang harus dihadapi bagi membolehkan Malaysia mencapai taraf negara maju. Isu-isu ini ialah:-

(i)  Pembentukan Satu Negara Bangsa Malaysia 
Konsep satu negara bangsa mempunyai makna yang dalam kerana ia bermaksud sebuah negara berdaulat yang rakyatnya tidak dapat diidentifikasikan melalui kaum, keturunan atau warna kulit. Pembentukan satu negara bangsa adalah menjadi pra-syarat kepada kemajuan kerana tanpa rakyatnya mempunyai satu pemikiran terhadap satu negara dan bangsa, sebarang bentuk kerjasama untuk maju tidak akan terjalin. Bagi mengisi konsep ini istilah seperti perpaduan negara, kesetiaan kepada negara, keharmonian dan toleransi perlulah difahami dan diamalkan.

(ii)  Negara Perindustrian 
Negara yang telah berjaya mengubah corak ekonomi dan kehidupannya daripada pertanian kepada perindustrian adalah mempunyai status negara maju. Wawasan 2020 berkehendakkan rakyat Malaysia meneruskan proses transformasi ini yang telah dimulakan sejak merdeka lagi kerana pencapaian sekarang masih lagi di pertengahan jalan. Ini adalah kerana proses ini bukan sahaja melibatkan transformasi daripada kehidupan bertani kepada perindustrian malah ia juga melibatkan perubahan teknologi, ekonomi, sosial dan kebudayaan.   
Masyarakat negara maju adalah masyarakat yang didokong oleh kemahiran dan kepakaran sains dan teknologi yang tinggi yang bukan setakat boleh mencedok atau mengubahsuai sahaja tetapi ia mestilah boleh mencipta, menambah dan memperbaharui. Bagi mencapai taraf negara perindustrian pertumbuhan ekonomi yang amat pesat amatlah penting. Ia sudah tentunya berkait dengan sumbangan sektor perdagangan dan komersial yang secara langsung melibatkan soal modal, pelaburan, daya saing, kualiti tenaga kerja, berdikari dan kekentalan menghadapi cabaran-cabaran. Di peringkat ini peranan sektor swasta amatlah besar kerana ia akan menjadi jentera Pertumbuhan.
   
(iii)  Keadilan Ekonomi dan Sosial 
Penwujudan satu masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi dan sosial memang tidak dapat disangkal sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapi bagi penwujudan satu negara maju dan bersatu. Ini ialah kerana dalam sebuah negara maju tidak patut wujud keadaan di mana satu golongan rakyat mempunyai segala-galanya sedangkan satu golongan lagi tercicir.

Pernyataan Wawasan ini adalah mempakan penegasan semula keatas isu yang sentiasa diberi dan meminta perhatian utama iaitu pembasmian kemiskinan, keseimbangan sosioekonomi di antara kaum, di antara wilayah, di antara negeri dan diantara bandar dan luar bandar. Dalam konteks ini Wawasan 2020 sebenarnya telah meminta semua rakyat Malaysia tidak salah tafsir terhadap bantuan yang diberikan kepada sesuatu kaum golongan sebagai tidak adil, sebaliknya hendaklah menganggapnya sebagai satu usaha bagi memperbaiki ketidak-adilan. Kesungguhan bagi mencapai tahap keseimbangan ini seterusnya telah diterjemahkan ke dalam objektif Dasar Pembangunan Nasional dan dilaksanakan melalui program dan projek Rancangan Malaysia Keenam.

(iv)  Moral dan Etika 
Berlainan dengan konsep negara maju yang ada sekarang yang lebih bercirikan kebendaan, negara maju ala-Malaysia yang dicita-citakan seharusnyalah berpegang kepada falsafah moral dan etika yang tinggi berasaskan kepercayaan agama. Penganutan falsafah ini adalah penting kerana kemajuan kebendaan tanpa nilai-nilai moral dan etika tidak akan mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian yang berkekalan sebaliknya banyak membawa keburukan. Pengamalan nilai-nilai murni (seperti di dalam Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam) akan menjadi faktor penghalang dalaman untuk tidak menyalahgunakan kemahiran atau kekayaan yang dimiliki.

(v)  Pembangunan Masyarakat Berdasarkan Sistem Kekeluargaan 
Wawasan ini telah mengetengahkan perkara pokok sistem sosial iaitu pembangunan keluarga berdasarkan hakikat bahawa keluarga menjadi asas pembentukan masyarakat dan masyarakat pula menjadi asas pembinaan negara. Ini membawa maksud bahawa kekuatan dan kemajuan sesebuah negara itu bermula dan terletak pada keluarga dan masyarakat. Penegasan ini amatlah benar kerana keluarga (rumah tangga) dan masyarakatlah yang mencorakkan kualiti individu yang menjadi rakyat dan pemimpin sesebuah negara. Budaya bangsa yang merangkumi sistem nilai dan cara hidup (termasuk masyarakat penyayang dan budaya menyayangi) sebagaimana yang dicita-citakan dalam Wawasan ini hendaklah digerakkan dari awal lagi dan ini memerlukan rakyat menyedari kepentingan institusi keluarga dalam memajukan negara dan mengambil langkah-langkah perlu bagi mewujudkan keluarga dan masyarakat yang sempurna   . 

Penutup
Sekali imbas Wawasan 2020 seolah-olah merupakan wawasan ekonomi semata-mata kerana ia mementingkan persoalan pembangunan ekonomi untuk Malaysia menjadi negara perindustrian, tetapi jika dihalusi ia sebenarnya lebih daripada itu oleh kerana ia juga menyentuh perkara-perkara berkaitan dengan aspek sosial dan cara hidup seperti pembentukan dan keperibadian bangsa, moral dan etika, kebudayaan kebangsaan, pembangunan sumber manusia dan lain-lain.
Wawasan 2020 bukanlah slogan untuk dilaung-laungkan, tetapi ia lebih merupakan rangka kerja tindakan framework of action bagi setiap rakyat untuk mengambil langkah-langkah tertentu bagi memastikan Malaysia menjadi negara yang benar-benar maju dan makmur. Dalam konteks ini Wawasan tersebut memerlukan beberapa perisian penting, di antaranya ialah kualiti tenaga kerja yang dihasilkan oleh sistem pendidikan, perubahan sikap dan nilai, penekanan keada sains dan teknologi, perancangan, dan peranan sektor swasta yang lebih dinamik.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Persediaan Inteview

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."


Falsafah pendidikan yang menjadi panduan bagi semua aktiviti pendidikan di Malaysia dekenali sebagai FPK. Dengan adanya FPK, maka sistem pendidikan negara sebenarnya menganjakkan diri ke kedudukan terkehadapan dengan mengungkapkan secara jelas prinsip dan nilai asas yang mendasari dan membentuk sistem pendidikan Malaysia daripada peringkat yang paling rendah hingga kepada peringkat tertinggi iaitu universiti. FPK menjelaskan tujuan dan matlamat pendidikan untuk individu dan negara. Kedua-dua tujuan selaras, iaitu untuk melahirkan insan yang berilmu, berakhlak mulia dan bertanggungjawab yang juga akan menjadi seorang warganegara yang baik. Pendidikan merupakan proses asas dan utama untuk pembinaan insan yang baik, seimbang dan bersepadu yang secara langsung merupakan saluran utama dan yang paling penting untuk menjayakan hasrat dan cita-cita negara.

Salah satu yang terkandung dalam FPK adalah falsafah tentang manusia yang berasaskan kepercayaan kepada Tuhan dan agama. Matlamat pendidikan adalah untuk membangunkan semua aspek diri manusia secara harmonis dan seimbang supaya kesepaduan fitrah diri manusia terpelihara. Berilmu dan berpendidikan harus menghasilkan budi pekerti yang baik dan akhlak yang mulia yang sekali gus menjadi cirri-ciri asasi seorang ahli keluarga, masyarakat dan warganegara yang baik dan terdidik.

Satu konsep asas yang terkandung dalam FPK ialah tentang ilmu, nilai ilmu dan peranan ilmu dalam pembangunan insan dan masyarakat. Nilai ilmu terletak pada kebenaran kandungan yang berfungsi bukan sahaja untuk memaklumkan dan menerangkan kepada manusia akan sesuatu, tetapi lebih penting lagi ilmu mempengaruhi, mengubah dan membentuk diri serta masyarakat manusia. Fungsi ilmu yang boleh mengubah manusia dan masyarakat inilah yang menjadikan sesuatu yang amat tinggi nilainya. Pendidkan ialah satu proses dan aktiviti sepanjang hayat dan manusia sentiasa berada dalam keadaan memerlukan perluasan, pendalaman dan pengesahan kepada ilmu yang ada. Pengalaman bukan sahaja boleh memperkaya dan mengukuhkan ilmu tetapi juga mencabar dan mengubah ilmu yang sedia ada pada manusia.

FPK juga melihat individu itu dalam beberapa lapisan pertalian atau perhubungan. Tujuan pendidikan bukan sahaja untuk pembangunan dan kesejahteraan diri individu tetapi juga untuk pembangunan dan kesejahteraan setiap lapisan hubungan individu berkenaan bermula dengan keluarga, meluas kepada masyarakat dan negara.


Berdasarkan FPK, jelas bahawa tujuan pendidikan tinggi bukan hanya setakat memperoleh segulung ijazah atau diploma, tetapi adalah untuk pembangunan diri manusia secara menyeluruh dan seimbang supaya menjadi seorang insan, ahli keluarga dan masyarakat dan warganegara yang berilmu, bertanggungjawab, berakhlak mulia, dan berbakti.


Rabu, 9 Mac 2011

Adindaku Elridzuan

Taraa... cuba teka sapa 2 budak kecik yang kat atas ni?
Hehe.. Ini la abang saya dan adik saya..
Saya nak kongsi tentang adik saya yang cute tu..
Masa kecil dulu dia cute macam budak perempuan..
Dan kini.. inilah wajahnya....
Peace no war..
Dulu budak ni orang ingat dia ni lembut.. Maklum la.. muka dia yang keperempuanan itu.. Bila bagi pakai tudung, sebijik macam perempuan..

Kini, apa yang saya banggakan adik saya ni dari dulu hingga sekarang mempunyai sifat kepimpinan.
President tu.. hehe (",)

Go go power rangers!

Ingat pesan abang iwan ye adik-adik.. bla2

Mari berwuduk

E'eh.. tersenyum pulak

Hitam dah wajahku yang putih ini

Jangan lupa lirik

Hensem tak saya??

5A UPSR! Good...

Betul ka aku pasang ni??

Bagi beta sorang ja duduk

Baris!

Inilah wajah adinda saya Elridzuan yang kini sedang menuntut di UIA. Berusia 23 tahun (Wan! hang dah 23 tahun!) Hehe.. Teruskan perjuangan dan usaha anda. (",)

Selasa, 8 Mac 2011

Pendekatan Konstruktivisme

Persediaan untuk interview
Sumber: Psikologi Pendidikan; Suppiah Nachiappan, Ramlah Jantan, Abdul Aziz Abdul Shukor

Pendekatan konrstrukvisme sosial menekankan pada P&P berfokuskan pelajar. Pelajar sepatutnya menjadi pembelajar yang aktif. Sistem pendidikan kini menumpukan kepada penglibatan pelajar di mana pelajar harus meneroka sendiri untuk mendapatkan ilmu pengetahuan. Guru memainkan peranan sebagai pemudahcara. Pendekatan seperti kognitif bersituasi, scaffolding, perantisan kognitif, tutoring, pembelajaran koperatif dan kolaboratif merupakan antara pendekatan yang membantu pelajar meneroka ilmu pengetahuan.

Ilmu pengetahuan dikonstruk melalui interaksi sosial dengan pelajar-pelajar lain. Contohnya dalam model sosiobudaya (Vygotsky), guru-guru bertindak sebagai pemudah caara dan memberi panduan kepada pelajar. Pendekatan konstruktivisme memberi fokus kepada tugasan melibatkan interaksi antara pelajar. Pembelajaran aktif dapat diperhatikan kerana belajar dalam kumpulan akan memaksimumkan kemahiran sosial, komunikasi, interpersonal, kinestatik dan sebagainya di kalangan pelajar tersebut.

Isnin, 7 Mac 2011

Kini bertukar..

Mari dekat..mari dekat...hehe
Malam ni cikgu eL tukar header blog sebab encik tu cakap blog cikgu eL menarik sebab ada gambar cikgu eL.. Jadi, cikgu eL agak segan (malu) dengan kata-kata encik itu.. Oleh itu, cikgu eL buat keputusan untuk tukar header blog cikgu eL sebab cikgu eL bukan nak dapatkan tarikan daripada gambar header. (",)
Sebelum

Sekarang

Teori Behaviorisme

Persediaan untuk interview
Sumber: Pedagogi Asas Pendidikan, Kamarudin Hj Husin & Siti Hajar Abd Aziz


Model pembelajaran behavioris mempunyai perbezaan yang ketara dengan konstruktivisme. Psikologis model ini lebih berminat terhadap kajian perubahan tingkah laku berbanding keupayaan mental.
Behavioris berpusat kepada usaha pelajar untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan usaha guru untuk menyampaikan ilmu kepada pelajar. Ini bermaksud, transmisi ilmu berlaku secara pasif, mengikut arahan dan kawalan guru (teacher-directed dan controlled).
Model pembelajaran ini mengutamakan pembelajaran kemahiran-kemahiran tertentu khususnya kemahiran fizikal. Pendokong model ini beranggapan bahawa pembelajaran adalah perubahan-perubahan yang berlaku pada tingkah laku manusia berasaskan situasi tertentu. Bagi mereka, pembelajaran adalah proses luaran atau tingkah laku yang dapat dilihat dan diamati. Pembelajaran dapat dikawal dan diramal.
Model pembelajaran behaviorisme diasaskan oleh Ivan Pavlov yang telah memperkenalkan pelaziman klasik. Seterusnya diperkembangkan oleh pakar-pakar psikologi terkenal seperti J.B Watson, B.F Skinner dan E.L Thorndike.
Teori ini menekankan kepentingan rangsangan (stimuli) dan tindak balas (response). Peranan otak dan fungsi mental tidak diambil kira kerana hubungan mental tidak dapat diamati dan diselidiki. Penguasaan sesuatu aspek pembelajaran bukanlah semata-mata merupakan ilmu pengetahuan. Ia memerlukan banyak latihan dan harus dikuasai dan dipelajari lebih daripada biasa.
Pembelajaran adalah satu hal latihan. Latihan adalah perlu untuk mewujudkan kebiasaan atau sesuatu tabiat.
Konsep kelaziman klasik Ivan Pavlov

National Key Result Area

Persediaan untuk interview.

Soalan Dan Jawapan
1. Bilakah Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan 6 National Key Result Area (NKRA)?
• Pada Isnin (27 Julai 2009), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), termasuk membabitkan bidang usaha bagi mengurangkan kadar jenayah, dan memerangi rasuah. Bidang-bidang lain termasuk meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

2. Siapakah Menteri-menteri  yang bertanggungjawab menerajui 6 NKRA berkenaan?
• Bagi setiap NKRA, seorang menteri akan dilantik sebagai 'lead minister' atau menteri pimpinan bagi menerajui NKRA yang ditetapkan. Menteri-menteri yang dilantik ialah:
I. Bagi NKRA untuk meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan, menterinya ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin (Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pelajaran)
II. Bagi NKRA mengurangkan kadar jenayah, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri)
III. Bagi NKRA memerangi rasuah, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri).
IV. Bagi NKRA tingkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah pula menterinya ialah Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat)
V. Bagi NKRA memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman ialah Datuk Seri Shafie Apdal (Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah)
VI. Bagi NKRA menambah baik pengangkutan awam, menterinya ialah Datuk Seri Ong Tee Keat (Menteri Pengangkutan).

3. Bagaimanakah NKRA dilaksanakan?
• Perdana Menteri akan bertanggungjawab secara keseluruhan terhadap matlamat NKRA dan pencapaian KPI tersebut
• KPI akan diletakkan kepada setiap 6 jurusan NKRA. Setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI nya dengan sasaran khusus agar dapat diukur. Berpandukan dengan KPI ini, segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan
• Setiap minggu PM akan berjumpa dengan setiap 'lead minister' ini bagi menilai pencapaian KPI yang ditentukan. Maknanya dalam setiap enam minggu, PM akan dapat menyelesaikan satu pusingan penilaian pencapaian bagi enam lapangan NKRA seperti yang direncanakan.
• Bukan itu sahaja, anggota Jemaah Menteri lain yang tidak termasuk dalam NKRA juga tidak terkecuali daripada mempunyai KPI kerana mereka tetap dipertanggungjawabkan untuk mencapai KPI kementerian masing-masing, yang akan dinilai oleh Perdana Menteri sendiri setiap enam bulan.
• Sebagai bukti tahap kebersungguhan untuk menjayakan rencana ini, 3 bengkel khusus telah diadakan di peringkat Jemaah Menteri. Bengkel-bengkel tersebut adalah bagi merangka, memperincikan dan mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang berbangkit. Sesungguhnya, kita komited melakukan proses transformasi melalui pengurusan berteraskan pencapaian dengan menggunakan kaedah penetapan NKRA dan pengukuran KPI. Ini semua dilakukan bagi memastikan pada analisa akhir rakyatlah yang akan memperoleh faedahnya.


4. Latar belakang merevolusikan pengurusan
Perkhidmatan Kerajaan : Pencapaian Diutamakan
• Pada hari pertama dilantik menjadi Perdana Menteri, PM telah menyatakan dengan jelas bahawa kepimpinan negara di bawah panji pentadbiran kini akan membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru dan bakal menjelmakan pula sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan kepentingan rakyat.
• Pada 28hb April, PM telah mengutarakan Key Performance Indicator atau Petunjuk Prestasi Utama ringkasnya KPI, yang akan menjadi piawai kepada pencapaian anggota pentadbiran dan penjawat awam. KPI merupakan satu amalan penting dalam pengurusan prestasi untuk menilai dan mengukur sasaran yang ditetapkan oleh sesuatu organisasi seperti kementerian atau agensi kerajaan secara objektif. KPI telah diguna pakai oleh banyak syarikat korporat dan didapati sebagai radas timbangan kerja yang sangat berkesan. Malah, mekanisme ini juga diterima pakai dengan jayanya oleh kerajaan di negara-negara maju seperti Britain, Australia dan Kanada.
• Ini kerana Kepimpinan tidak akan bermakna jika ia tidak berpaksikan kepada pencapaian. Hatta, kemuncak kepada penilaian rakyat berkait kepimpinan sektor awam mahupun politik adalah pencapaian. Metodologi ini juga akan membolehkan perkhidmatan awam bahkan anggota pentadbiran dinilai secara menyeluruh dari aspek kuantitatif dan kualitatif.
• Pada hari ke seratus pentadbiran PM baru-baru ini, PM telah mengumumkan 6 bidang keberhasilan utama nasional atau National Key Results Area, singkatannya NKRA. Ia menjadi bidang-bidang yang diberi keutamaan di peringkat kebangsaan.

5. Apakah tujuan pelaksanaan NKRA?
• Tujuan PM memperkenalkan NKRA dan KPI adalah bagi memastikan elemen kebertanggungjawaban yang serius, wujud di kalangan anggota pentadbiran dan juga penjawat awam.
• Puncanya ialah, PM tidak mahu rakyat sebagai klien utama berada dalam keadaan teraba-raba dan samar, akan apakah inisiatif, rencana dan hala tuju pembangunan yang sedang digembleng oleh Kerajaan.
• PM mahu segala rancangan pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat ini di maklum dan diketahui oleh rakyat agar mereka dapat memantau dan menilai pencapaian sasaran seperti yang ditetapkan.
• PM turut  meletakkan KPI kepada 6 jurusan NKRA tersebut. Untuk setiap NKRA, akan dikenal pasti pula KPI-KPI-nya dengan sasaran secara khusus agar dapat diukur. Dengan adanya KPI ini, maka segala prosedur akan diperkemas, segala sumber dan tenaga dalam organisasi akan digembleng dan segala usaha akan ditumpu untuk mencapai sasaran yang di pateri dalam satu tempoh masa munasabah yang dijanjikan.

6. Apakah perincian 6 Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)?
1) NKRA yang pertama :Mengurangkan Kadar Jenayah
• Sesebuah negara yang menuju ambang kemajuan seperti Malaysia perlu berada dalam keadaan aman dan damai. Jauh dari segala bentuk ancaman dan jenayah. Walau bagaimanapun di mana-mana negara di dunia pencegahan jenayah secara total tidak mungkin dapat dicapai. Pastinya ada sahaja dari masa ke semasa kejadian-kejadian yang sukar untuk dielakkan daripada ianya berlaku.
• Oleh yang demikian, kerajaan memandang serius isu pencegahan jenayah dan meletakkan keutamaan pengurangan kadar jenayah sebagai salah satu NKRA di bawah Kementerian Dalam Negeri. Untuk itu, kerajaan telah mengenal pasti NKRA pengurangan jenayah dan di pecah bahagi kepada tiga bahagian iaitu:

i) Jenayah jalanan
Jenayah jalanan diberi penekanan kerana didapati ia mendatangkan trauma dan ketakutan berpanjangan kepada ahli keluarga juga anggota masyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan jenayah jalanan termasuklah curi ragut, samun tanpa bersenjata dan samun berkawan tanpa bersenjata api. Statistik menunjukkan jenayah kategori ini bukanlah enteng-entengan kerana ia merupakan 17% daripada keseluruhan indeks jenayah 2008. Manakala hot spots kepada jenayah jenis ini telah dikenal pasti terutamanya di empat kawasan utama iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Didapati, negeri-negeri ini mencatat sebanyak 72% daripada jumlah keseluruhan jenayah jalanan pada tahun 2008. Oleh sebab itu kerajaan menetapkan sasaran pengurangan jenayah jalanan ini sebanyak 20% pada penghujung tahun 2010.
ii) Keselamatan awam
Penumpuan akan diberikan dalam hal penambahbaikan persepsi rakyat terhadap keselamatan awam di mana pasukan-pasukan sukarela yang sedia ada terutamanya RELA akan dikemas kini dan diberi latihan secukupnya secara lebih teratur. Ini  termasuklah penyeragaman uniform supaya mereka dapat dilibatkan bersama PDRM khususnya dalam usaha membanteras jenayah jalanan. Dalam usaha ini, balai-balai yang berkaitan akan dinaiktarafkan serta peralatan-peralatan yang diperlukan akan turut ditambah. Selain itu, langkah-langkah pengawalan dan pencegahan akan ditingkatkan lagi dengan menambah peralatan CCTV.
iii) Peningkatan Prestasi Agensi Penguatkuasaan
Untuk menaikkan prestasi agensi penguatkuasaan pula, Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Perdana Menteri untuk mengkaji cara-cara mempercepatkan proses perundangan terhadap kes-kes tertangguh misalnya dengan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas bagi jenayah jalanan.
2) NKRA yang kedua – Memerangi rasuah
• Kerajaan amat komited dalam usaha memerangi rasuah. Seperti mana yang kita semua tahu, gejala rasuah haruslah dibendung sebelum ianya terus membarah. Badan antarabangsa iaitu Transparency International dalam Corruption Perception Index mereka, meletakkan Malaysia di tangga 47 pada tahun 2008 berbanding dengan kedudukan nombor 39 pada tahun 2004.
•  Oleh itu, untuk memastikan persepsi kedudukan dan ranking  Malaysia bertambah pulih pada masa hadapan, kerajaan beriltizam mengemas kini polisi, prosedur dan penguatkuasaan yang berkaitan.
• Sehubungan dengan itu, kerajaan telah pun mengambil keputusan bahawa semua perolehan kerajaan haruslah menggunakan tender terbuka atau pun tender terhad kecuali dalam kes-kes tertentu. Manakala dari segi peningkatan penguatkuasaan, kerajaan telah pun menaikkan taraf badan pencegah rasuah menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bidang kuasa dan perundangan yang lebih efektif.
3) NKRA yang ketiga  – Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti dan Berkemampuan
• Seperti yang semua maklum, ilmu pengetahuan menjadi kandil penyuluh yang menerangi kegelitaan hidup di dunia. Malah ilmu menjadi prasyarat kepada pembikinan mana-mana tamadun yang pernah terbina dan yang menentukan kelancangannya.  Justeru, kerajaan  akan terus mengiktiraf dan memberikan ruang kepada yang terbaik dan terbilang tanpa mengira latar keturunan mahupun taraf sosioekonomi.
• Oleh itu, dalam bidang pendidikan, PM mahu memastikan anak-anak bangsa mendapat akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Mahu tidak mahu, generasi muda Malaysia perlu berilmu, mesti berfikiran kreatif, berinovatif, bercirikan nilai murni serta mampu bersaing di persada internasional yang penuh cabaran ini dari kemudahan yang diberikan.
• Kerajaan akan memberikan keutamaan untuk menyediakan pendidikan yang terbaik bermula daripada peringkat asas iaitu peringkat prasekolah. Untuk itu, pendidikan prasekolah akan dijadikan sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dalam aliran perdana.
•  Adalah amat merugikan kerana terdapat kanak-kanak yang pergi ke sekolah tetapi masih tidak menguasai kemahiran membaca atau menulis apabila meninggalkan bangku pengajian. Maka, bagi menangani kemelut ini, PM telah menetapkan supaya semua kanak-kanak normal yang bersekolah boleh menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira ketika melangkah ke Tahun 4 sekolah rendah sebelum penghujung 2012.  Kerajaan menyedari hanya 60% sahaja anak-anak Malaysia yang dapat akses pendidikan pra sekolah, jadi KPI menjelang 2012 berharap pencapaian ini dapat dinaikkan sekurang-kurangnya kepada 80%.
• Bersesuaian dengan konsep pencapaian diutamakan pula, kepimpinan sekolah di peringkat rendah dan menengah perlu menyedari mereka adalah peneraju tapak semaian modal insan nasional. Berkaitan itu, kerajaan dengan ini ingin menawarkan new deal atau satu Bai’ah baru  kepada semua pengetua dan guru besar sekolah dengan janji ganjaran berasaskan pencapaian sekolah masing-masing.
• Selain itu , sebagai projek perintis, sebanyak 100 buah sekolah, terdiri daripada jenis harian biasa, sekolah bestari, kluster, trust school atau sekolah berpiagam dan sekolah berasrama penuh,  akan dikenal pasti untuk diangkat menjadi Sekolah Berprestasi Tinggi. Dengan ini, kerajaan akan menyediakan persekitaran pelajaran dan pembelajaran yang kondusif serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memacu lagi  pencapaian pelajar. Semua rencana ini akan dilaksanakan dalam tempoh 3 tahun sebelum penamat 2012.
4) NKRA yang keempat – Meningkat Taraf Hidup Rakyat Yang Berpendapatan Rendah
• PM bertekad untuk membanteras kemiskinan tegar menjelang 31 Disember 2010 sesuai dengan matlamat RMK9. Mengikut rekod sistem e-kasih, terdapat hampir 45,000 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar di seluruh negara. Daripada jumlah itu, lebih 11,000 telah disahkan statusnya dan telah pun mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Manakala pengesahan status lebih 14,000 KIR di Sabah dan Sarawak sedang giat dijalankan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan dijangka selesai pada penghujung tahun 2010.
• Sehubungan ini juga, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin, kerajaan sentiasa mendengar rintihan serta merasai denyut nadi rakyat dan tidak sekali-kali memandang mudah soal kebajikan rakyat. Kerajaan mahu setiap bantuan yang dijanjikan bukan sahaja sampai ke tangan rakyat tetapi tiba pada masa yang tepat. Oleh itu, bermula Januari 2010  semua bantuan kebajikan untuk rakyat akan dibayar pada tiap 1 hari bulan bagi bulan yang berkenaan.
•  Sememangnya, sumbangan kaum wanita kepada pembangunan negara tidak dapat dinafikan. Malah, kaum hawa membentuk separuh dari penduduk Malaysia. Bersesuaian itu kerajaan berhasrat untuk melatih dan melahirkan lebih ramai jumlah usahawan wanita. Sehingga Jun 2009 sahaja, seramai 717 wanita yang berpotensi untuk dibimbing menjadi usahawan dalam program Sahabat Amanah Ikhtiar telah dikenal pasti. Justeru, kerajaan dengan ini menetapkan matlamat untuk menambah lagi jumlah usahawan di kalangan wanita ini kepada seramai 4,000 orang  menjelang tahun 2012 melalui program Amanah Ikhtiar Malaysia.
5) NKRA yang kelima : Memperkasa Prasarana Luar Bandar dan Pedalaman
• Bersesuaian dengan semangat dan konteks ajaran al Quran Surah Al-Hashr ayat 7 bahawa, janganlah hendaknya harta dan kekayaan itu beredar di kalangan orang-orang berada sahaja bahkan sepatutnya ia melimpah ke seluruh negara. Maka, atas prinsip maslahah umum juga, tiada yang sepatutnya tercicir dari merasai mahsul kemakmuran.
• Lantaran itu, pentadbiran kerajaan akan terus giat memperkasa infra luar bandar dan pedalaman. Menjelang tamatnya tahun 2010 dirancang sepanjang 750 km jalan luar bandar akan siap dibina di Sabah dan Sarawak. Jumlah ini akan ditambah lagi kepada 1,500km atau dua kali ganda daripada perancangan awal. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM4 bilion dan akan siap terlaksana sebelum penamat tahun 2012.
• Jalan-jalan yang akan dibina terdiri daripada tiga (3) kategori iaitu jalan berturap (paved), jalan kerikil (gravel) dan jalan tanah yang akan memberi kemudahan perhubungan serta faedah kepada hampir 2 juta penduduk luar bandar di Sabah dan Sarawak.
•  Manakala di Semenanjung Malaysia pula, bagi tempoh yang sama, liputan rangkaian jalan luar bandar akan dipertingkatkan bagi memastikan kesemua rakyat tinggal paling jauh pun, 5km dari kemudahan jalan berturap. Ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM1 bilion dan bermakna jumlah peruntukan yang diperlukan bagi penyediaan infrastruktur asas sehingga 2012 adalah sebanyak RM5 bilion.
• Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sabah dan Sarawak masih belum memuaskan iaitu masing-masing di sekitar 62%. Justeru, Kerajaan telah menetapkan pada akhir RMK9 liputan bekalan air bagi kedua-dua negeri berkenaan akan dipertingkatkan kepada 70%. Kerajaan begitu serius untuk menyediakan kemudahan bekalan air bersih kepada semua rakyat dalam tempoh terdekat ini. Jadinya, tindakan segera akan diambil untuk meningkatkan liputan bekalan air sehingga 90% di Sabah dan Sarawak pada penghujung tahun 2012. Untuk tujuan ini sejumlah RM2 bilion diperuntukkan dan akan membawa kemudahan kepada 60,000 buah rumah.
• Selanjutnya, memandangkan pada masa ini liputan bekalan elektrik di Sabah dan Sarawak juga masih rendah iaitu masing-masing sekitar 80% berbanding 99% di Semenanjung, Kerajaan bermatlamat untuk meningkatkan liputan bekalan elektrik di kedua-dua negeri tersebut kepada 95% pada akhir tahun 2012. Sejumlah RM3.9 bilion akan diperuntukkan untuk tujuan ini yang akan membawa nikmat kepada 80,000 buah rumah. Kerajaan juga menyasarkan untuk memberi bekalan elektrik 24 jam kepada 7,000 rumah Orang Asli di Semenanjung pada akhir tahun 2012.
• Kerajaan turut berhasrat untuk menyediakan kemudahan kediaman yang lebih selesa kepada golongan miskin dan sehubungan itu, Kerajaan akan membina dan membaik pulih sejumlah 50,000 unit rumah bagi keperluan golongan tersebut sehingga penghujung 2012 di seluruh Malaysia.
6) NKRA yang keenam – Menambah Baik Pengangkutan Awam dalam jangka masa sederhana
• Dalam era Malaysia melangkah sebagai sebuah negara maju, kerajaan berhasrat untuk menyediakan rangkaian sistem pengangkutan awam yang komprehensif bagi memenuhi keperluan rakyat. Kerajaan sedar bahawa usaha yang serius dan bersifat jangka panjang diperlukan bagi menjayakan matlamat ini.
• Mengikut pada statistik Kementerian Pengangkutan, pada masa ini hanya 16% daripada penduduk Lembah Klang menggunakan sistem pengangkutan awam. Jadi, Kerajaan menyasarkan bahawa peratus ini akan ditingkatkan lagi kepada 25% pada penghujung tahun 2012. Namun, harus disedari, untuk meningkatkan peratus ini, ia melibatkan pelbagai pelaburan yang besar, mapan dan berjangka panjang. Walau apa pun, buat langkah permulaannya, PM mengumumkan menjelang penghujung 2012, tambahan 35 set “4-car-train” akan beroperasi untuk laluan LRT Kelana Jaya.

Kesimpulan
Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) ini membuktikan Kerajaan di bawah pimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak begitu telus dan komited untuk melaksanakan transformasi perkhidmatan kerajaan yang bermutu tinggi kepada rakyat. Ini kerana dengan adanya NKRA ini rakyat boleh menilai keberkesanan kepimpinan YB Dato Seri Najib Tun Razak secara adil dan sistematik tanpa berdasarkan emosi ataupun persepsi semata-mata.
Selain daripada itu juga Kerajaan pimpinan YB PM telah memperkenalkan sistem pengukuran prestasi yang boleh membuktikan secara fakta keberkesanan setiap 6 bidang NKRA. NKRA ini juga merupakan manifestasi kerajaan dalam meletakkan amanah dan mandat rakyat di kedudukan tertinggi dan bermaruah di samping mencapai konsep 1Malaysia di mana, “ rakyat didahulukan dan pencapaian di utamakan.”